Wednesday, October 22, 2008

Wasiat nabi kepada umatnya...

Nabi Muhammad S.A.W. telah lama meninggalkan kita. Namun apabila kita mengimbau kembali saat-saat kewafatan baginda, ingatan kita begitu segar seolah-olah kita juga ada bersama-sama baginda pada saat-saat yang penuh hiba dan sayu itu.
Pada waktu itu, suasana sedih menyelubungi ruang sempit di rumah Nabi S.A.W yang berdekatan dengan masjidnya di Madinah. Melihat sekujur tubuh layu yang hampir bertemu dengan kekasihnya Allah Robbuljalil. Manakala malakulmaut sudah bersiap sedia menjalankan tugas mencabut nyawa dari bahagian kepala Rasullulah saw.
Rasulullah sedang mengerang kesakitan dengan penuh ketenangan tatkala roh telah sampai ke pusat. Wajahnya dibasahi peluh kelihatan dengan jelas urat-urat di wajahnya menegang menahan kesakitan yang amat sangat dalam detik-detik yang tragedi itu.
Rasulullah saw mengigit bibirnya menahan kesakitan dan memandang Jibrail. Jelas kelihatan matanya yang basah dan cahayanya yang semakin meredup. Baginda mengadu kepada Jibrail sambil berkata, “ Wahai Jibrail! Alangkah sakitnya! Alangkah dahsyatnya derita sakaratul maut ini…”
Jibrail terus memalingkan muka. Tak sampai hati melihat kesakitan yang ditanggung oleh rasulullah saw. Baginda saw dengan rasa cemas bertanya, “Wahai Jibrail! Mengapa engkau berpaling? Adakah engkau benci melihat wajahku wahai Jibrail?
Tidak, wahai rasulullah! “ jawab Jibrail sambil memegang erat tangan Baginda saw. Lalu berkata,”Siapakah yang tergamak melihat kekasih Allah menanggung kesakitan seperti ini? Seluruh gerbang syurga juga telah terbuka bagi tempat semayam Paduka Tuan, wahai Rasulullah.
Biarpun mendengar berita itu, baginda saw masih bermuram. Wajahnya tetap resah gelisah mengenangkan nasib kita umatnya. Lalu baginda saw bertanya dengan cemas, “Wahai Jibrail, khabarkanlah kepadaku, bagaimana keadaan umatku pada hari akhirat kelak?” Jawab Jibrail, Ya Rasulullah! Allah telah berfirman (maksdnya) ” Aku telah haramkan syurga dimasuki oleh para nabi dan Rasul melainkan kekasih-Nya Nabi Muhammad masuk lebih dahulu ke dalamnya. Dan aku haramkan umat para nabi dan Rasul masuk ke syurga hingga sampai giliran umatmu (wahai Muhammad), masuk lebih dahulu ke dalamnya.
Setelah mendengar berita tersebut, barulah wajah Rasulullah saw berseri-seri kerana cinta dan kasihnya baginda terhadap kita umatnya. Baginda merasa lega,tenang dan tenteram hatinya kerana ternyata umatnya mendapat hak serta tempat yang istimewa di depan Allah swt.
Ternyata betapa kasih Rasulullah semakin memuncak terhadap kita, umatnya. Apabila ketika disaat mengalami kesakitan yang amat sangat sakaratulmaut, baginda merayu kepada Allah Taala agar cukuplah kesakitan maut itu ditimpakan ke atas dirinya seorang dan jangan sekali-kali ditimpakan ke atas kita umatnya.
Nabi saw berdoa, “Wahai tuhan, alangkah sakitnya, wahai Tuhan. Timpakanlah kesakitan maut ini hanya kepadaku dan jangan kepada umatku.”
Malakul-Maut terus menjalankan kewajibannya biarpun merasa amat berat. Apabila Nyawa telah sampai di dada, tiba-tiba Baginda saw dengan suara tersekat-sekat dan pandangan yang redup, memandang ke arah para sahabat seraya berkata, “ Aku wasiatkan kepada kamu solat dan orang-orang yang menjadi tanggunganmu, peliharalah mereka baik-baik”.
Kemudian keadaan pun menjadi bertambah tegang dan diselubungi kesedihan. Para sahabat sudah berpelukan antara satu sama lain kerana tidak tahan menahan kesedihan. Jasad Rasulullah menjadi dingin dan seluruhnya tidak bergerak-gerak lagi. Matanya yang berkaca-kaca hanya terbuka sedikit. Matanya menatap ke langit, jari-jarinya tertegak dengan kaku.

Aku wasiatkan kepada kamu solat dan orang-orang yang menjadi tanggunganmu, peliharalah mereka baik-baik”.

REnung-renungkanlah..

2 comments:

Norain MT said...

Salam alayk.

Masa kecil dahulu banyak kali dengar kisah kewafatan dan kecintaan baginda Rasulullah. Tapi, itulah... manusia. Lupa dan alpa. Terima kasih kerana mengingatkan kembali.

Sememangnya solat sangat-sangat penting dalam Islam. Yang pertama sekali di hisab di akhirat pun solat. Tapi ramai yang lalai...

mie said...

wakmsalam...

Terima kasih kerana cik qudwatul hassanah sudi memberi komen yang memberangsangkan dan membina. Memang benar, ketika kecil kita selalu diingatkan... Tetapi bila dah besar ni, Siapa lagi kl tidak diri sendiri. Tapi kita masih lupa dan alpa...
Nak tau sebabnya... Sebabnya kita selalu menganggap solat itu mudah dan sesuatu perkara yang ringan. Dan disebab itu lah ramai yang lalai tentang solat.
Kalau kita banyak mengembara dan melihat sifat manusia... Ramai yang keciundang disebabkan oleh perkara seperti ini lah... Ambil sambil lewa sebab perkara itu tidak penting dan ringan... Hanya perkara yang kecil dan ringan itu lah ramai yang gagal dalam matlamt hidupnya. Apatah lagi yang berat...